OLAHRAGA

Sukan Asia: Fatimah, Komalam buru tempat penyertaan

Penulis Jemputan 08/06/2018 | 11:22 MYT
Tiada istilah berputus asa dalam kamus dua pelari pecut wanita negara, Siti Fatimah Mohamad dan S. Komalam Shally, yang masih menanam impian beraksi dalam Sukan Asia 2018 walaupun nama mereka tiada dalam senarai awal Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM).
Fatimah dan Komalam sudah tidak lagi bersama skuad olahraga kebangsaan dan menjalani latihan bersendirian sebaik Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur berakhir.
Justeru, ia bukan sesuatu yang memeranjatkan kedua-duanya tercicir daripada senarai selain gagal melakukan catatan masa minimum dalam acara 100 dan 200 meter dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia, bulan lalu.
Menurut Fatimah, dia optimis masih mampu layak kerana berazam melakukan sesuatu dalam dua kejohanan tempatan, iaitu Terbuka Melaka serta Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (Maksak) sebelum tarikh tutup.
"Sebenarnya kami sudah sedia dengan apa yang kami mahu buat. Cuma, sekarang ini kami buat apa yang mampu dulu.
"Kami akan buat selangkah demi selangkah, masih ada ruang untuk diperbaiki. Tidak boleh cakap kerjaya saya sudah berakhir. Selagi kamu mampu, buktikan dan lakukan," kata Fatimah.
Dalam pada itu, Komalam pula sudah pasti tidak mahu sekali lagi kempunan selepas digugurkan di saat-saat akhir oleh barisan kejurulatihan ketika Sukan SEA lalu.
Maka, dia sanggup melakukan apa sahaja untuk melayakkan diri dan paling penting menuntut KOM bersikap profesional jika dia berjaya layak.
"Saya berharap KOM mengambil saya semula untuk berada dalam pasukan. Saya bukan kata saya masih kuat tetapi ini adalah cita-cita saya.
"Ini kerja saya dan saya suka kerja saya. Itu sebabnya saya masih berada di sini walaupun berusia 30 tahun," kata Komalam.
;