SUKAN LAIN
Sukan Asia: Eddy, Bernard tarik diri
Eddy Chew dan Bernard Yeoh adalah antara dua penembak negara yang menarik diri daripada Sukan Asia 2018 kerana tidak sanggup pergi atas perbelanjaan sendiri selepas penyertaan mereka tersenarai di bawah kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Pengurus pasukan, Mark Ong, mengesahkan sembilan penembak negara akan ke Sukan Asia sebelum senarai dimuktamadkan pada 10 Julai ini.
Antara penembak utama yang akan ke Palembang ialah Johnathan Wong dan Bibiana Ng, selain atlet muda seperti Mohd Lutfi Othman dan Nur Izazi Rosli.
Iklan
Bagaimanapun, dua penembak negara, Eddy dan Bernard, tidak bersama skuad menembak kali ini dan keputusan itu telah disampaikan kepada Mark.
"Bernard terpaksa menarik diri kerana dia tidak sanggup bayar. Bernard bermastautin di London dan ia terlalu mahal untuknya kembali mewakili negara untuk acara trap. Eddy juga tiada bajet untuk beraksi dalam kategori B," kata Mark.
Ketiadaan Eddy menjejaskan perancangan skuad menembak yang sebelum ini mahu meletakkannya dalam acara 10 meter air pistol campuran yang diperkenalkan buat kali pertama dalam Sukan Asia, bulan depan.
"Ini kali pertama lelaki dan perempuan bertanding bersama-sama untuk setiap negara. Kami berharap atlet rifle dan pistol boleh menyesuikan diri dengan acara berpasukan ini.
"Eddy salah seorang calon wakil negara tetapi selepas dia berundur, kami meletakkan Johnathan dan Bibiana untuk acara pistol," katanya lagi.
Must-Watch Video