SUKAN LAIN
SUK Perak sasar muncul juara
Selepas gagal dalam enam percubaan, pasukan Setiausaha Kerajaaan Negeri (SUK) berharap mampu menjulang Piala FA apabila turun bertemu Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) II dalam final di Stadium Perak, malam esok.
Penolong pengurus SUK, Khir Johari Mohasisin, berharap pemain mampu melaksanakan impian itu pada penampilan kali keempat dalam perlawanan akhir kejohanan kalah mati itu.
"Setakat ini kami hanya muncul pasukan kedua terbaik di belakang MBI apabila muncul naib juara sebanyak tiga kali berturut-turut.
"Saya berharap kami akan lebih bernasib baik kali ini," kata Khir Johari dalam sidang media perlawanan akhir piala itu petang tadi.
Dalam final tiga edisi berturut-turut itu, SUK tumpas kepada pasukan utama MBI, iaitu MBI 1.
Bagaimanapun, juara bertahan itu mengalami kejutan apabila tersingkir dalam suku akhir.
Walaupun akan bertemu padukan kedua MBI, Khir Johari tetap memandang tinggi kemampuan pencabar dari Liga Perdana Liga Ipoh itu.
"Kami sekali-kali tidak memandang mudah kemampuan lawan.
"Mereka tetap pasukan pilihan dalam perlawanan ini, " katanya.
Sementara itu, pengurus MBI, Zakuan Zakaria, mahu bersikap merendah diri menyedari pasukan itu adalah pasukan kedua mereka.
"Kena terima hakikat bahawa ini bukan pasukan utama kami. Kemampuannya tidak sama.
"Apapun, saya berharap kami mampu memberi cabaran sengit kepada lawan," katanya.
Piala FA anjuran Persatuan Bola Sepak Ipoh (PBI) itu adalah kejohanan terunggul di kalangan ahli gabungan.
Kejohanan kalah mati disertai 18 pasukan itu menawarkan hadiah piala pusingan serta piala iringan dan wang tunai RM3,000 kepada juara. Naib juara akan menerima RM2,000.