Bekas penunggang Ducati, Casey Stoner, secara terang-terangan menyatakan pendirian bahawa sama sekali tidak tertarik dengan format Sprint Race yang telah diperkenalkan dalam saingan MotoGP bermula musim lalu.
Beliau yang juga merupakan juara dunia dua kali itu menegaskan bahawa kejuaraan dunia sepatutnya ditentukan dalam acara utama iaitu dalam perlumbaan sebenar.
"Namun kini para pelumba mempunyai dua kesempatan untuk memungut mata yang mempengaruhi kedudukan dalam carta bagio saingan keseluruhan perlumbaan. Tentunya saya langsung tidak tertarik dengan format sprint itu," jelasnya kepada media ketika ditanya tentang saingan sengit antara dua penunggang Ducati iaitu Bagnaia dan Martin yang bakal merebut kejuaraan dunia musim ini.
Bagi Stoner penentuan terhadap kejuaraan dunia seharusnya berlaku seperti kelazimanya tanpa perlu ditambah dengan mata acara tambahan seperti sprint.
"Kejuaraan dunia haruslah seperti kebiasaanya iaitu dalam perlumbaan setiap minggu. Jika anda melakukan kesilapan anda memiliki satu kesempatan tetapi sekarang anda kini memiliki dua kesempatan." Jelasnya lagi.
Bagaimanapun Stoner tidak menolak dakwaan bahawa acara sprint itu memiliki sisi yang agak menarik juga namun ia sepatutnya dilangsungkan dalam hanya beberapa siri sahaja dan bukanya bagi setiap pusingan perlumbaan.
Dalam pada itu, Francesco Bagnaia dan Jorge Martin akan beradu habis-habisan buat kali terakhir di Barcelona bagi menentukan siapakah yang lebih layak bergelar juara dunia bagi musim ini selepas kedua-dua memiliki kedudukan dan mata yang begitu sengit ketika ini.
King Hisyam
Wed Nov 13 2024