Status Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) hanya akan diketahui esok apabila Majlis Olimpik Malaysia (MOM) akan bersidang untuk menentukan sama ada persatuan itu masih relevan untuk mengurus tadbir sepak takraw tempatan atau pun sebaliknya.

Rentetan daripada tindakan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) mengiktiraf Konfederasi Sepak Takraw Malaysia (MSC) sebagai ahli gabungan yang mewakili Malaysia.

Ahli lembaga MOM yang akan bersidang esok akan meneliti pelbagai aspek sebelum ambil sebarang keputusan memandangkan situasi menjadi semakin rumit.

Rayuan PSM untuk menjadi sebahagian daripada anggota Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF) kekal ditolak, sementara MSC pula sudah pun sah menjadi keluarga badan induk Asia itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung MOM, Datuk Naziffudin Najib, menjelaskan masih tiada permohonan rasmi dari MSC untuk bernaung di bawah MOM.

MOM juga menjelaskan persiapan skuad sepak takraw untuk ke Sukan SEA Vietnam Mei depan juga tidak terganggu dengan kemelut ini, memandangkan ia diurus selia sepenuhnya di bawah program Majlis Sukan Negara (MSN).