Pemain hoki muda negara, Azliff Syah Bin Ahmad Azuan Syahrill, cemerlang setelah merekodkan 8A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hari ini.
Dia yang merupakan pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pernah bermain di Kejohanan Piala Mirnawan dan peringkat kebangsaan B-16 bersama Selangor serta merupakan pelapis skuad hoki negara yang akan menyinar suatu hari nanti.
Walaupun terpaksa membahagikan waktu untuk pelajaran dan minat, dia tetap mementingkan pelajaran untuk masa hadapan selain tekad meneruskan karier sebagai pemain hoki.
"Kebiasaannya setiap pagi saya akan berlatih kemudiaan masuk ke kelas untuk sesi pelajaran seperti biasa. Kemudian pada petang hari akan kembali latihan.
"Walaupun kebanyakan masa habis dengan latihan, tetapi semasa berada di dalam kelas dan waktu malam saya fokus pada pelajaran sahaja.
"Sebelum SPM, memang saya banyak menghabiskan masa untuk solat dan berkongsi ilmu dengan kawan selain rajin bertanya kepada cikgu saya.
"Walaupun ketika menghampiri SPM saya juga terlibat dengan Sukan Malaysia (Sukma), tetapi pada akhirnya saya terpaksa beri fokus kepada pelajaran berbanding Sukma." katanya kepada Nadi Arena.
Saufi Tahir
Mon May 27 2024