The Speedy Tigers tidak sepantas seperti pasukan yang berada di ranking ke-12 terbaik dunia selepas sekadar menamatkan kempen Piala Negara-Negara di kedudukan ketujuh daripada sembilan pasukan bertanding.

Analisa menyeluruh ketua jurulatih negara, Sarjit Singh, melibatkan faktor tidak konsisten, kegagalan menyempurnakan majoriti pukulan sudut penalti selain jentera pertahanan yang lemah.

Namun, bekas pemain negara yang berada dalam perancangan jurulatih terdahulu, Arul Selvaraj, iaitu Mohamad Ashran Hamsani mempunyai pandangan dan perspektif tersendiri mengenai apa yang sedang berlaku dalam kem negara ketika ini.

Jelas sekali, skuad negara sedang melalui fasa transformasi dengan wajah baru dibentuk dengan pemain muda dan sudah tentu proses peningkatan tidak berlaku dalam semalaman.

"Keserasian merupakan kelemahan utama.




"Bukan senang untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap dalam masa yang singkat.

"Peluang perlu diberikan kepada pasukan negara untuk buktikan kewibawaan.

"Mereka baru melalui dua kejohanan dan memerlukan beberapa kejohanan lagi untuk lebih stabil.

"Tapi sekarang sudah ada kemajuan dalam membina gerakan," kata Ashran.