The Speedy Tigers belum sampai tahap tekan butang panik
Shaiful Shamsudin
November 6, 2024 19:06 MYT
November 6, 2024 19:06 MYT
Legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi, menganggap belum sampai masanya untuk Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menekan butang panik berikutan prestasi hambar skuad hoki lelaki negara di pentas antarabangsa kebelakangan ini.
Jelas bekas pengurus skuad hoki lelaki kebangsaan itu, masih terlalu awal untuk semua pihak menilai kemampuan sebenar ketua jurulatih, Sarjit Singh, memandangkan dia baru dilantik untuk membimbing The Speedy Tigers, Mac lalu.
Dia percaya Sarjit serta barisan kejurulatihannya sudah mengenal pasti kelemahan dan kekurangan pasukan untuk diatasi menjelang siri kejohanan utama pada tahun hadapan.
Untuk rekod, tiga kejohanan yang dilalui skuad kendalian Sarjit itu tahun ini menyaksikan mereka menamatkan saingan Piala Sultan Azlan Shah di tempat keempat , kedudukan ketujuh untuk Piala Negara-Negara serta Trofi Juara-Juara Asia meraih tempat keenam.
"Tiada siapa yang ingin menghabiskan kejohanan di tempat terakhir. Tetapi adakalanya ia boleh berlaku.
"Kita perlu berikan masa kepada Sarjit dan The Speedy Tigers, kemudian lihat sejauh mana prestasi mereka pada 2025 terutama dalam Piala Sultan Azlan Shah. Adalah penting untuk pastikan sudah bersedia untuk kelayakan Piala Dunia.
"Sebagai bekas pemain dan pengurus pasukan, malah sebagai peminat hoki untuk melihat pasukan negara layak ke Piala Dunia 2025," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.