SOPMA: Dua atlet Sarawak sedia gempur, butir pingat emas

Ammar Hakim
Disember 2, 2023 19:40 MYT
Menjelang Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) yang bakal membuka tirai esok, dua atlet kontinjen Sarawak menyuarakan semangat untuk memastikan pingat emas berjaya dibutirkan dalam saingan kali ini.
Bagi atlet pekak boling tenpin, Sia Chew Ing, dia sungguh teruja dengan peluang untuk sekali lagi kembali beraksi dalam SOPMA.
Dia turut berkongsikan mengharungi perjalanan lima jam menaiki bas untuk menjalani latihan bersama skuad Sarawak.
"Latihan sebelum ini dijalankan di Kuching bersama skuad Sarawak. Mengharungi perjalanan selama lima jam dari Sibu setiap kali untuk menjalani latihan," katanya menerusi jurubahasa, Aminuddin Rosmi, dalam Nadi Weekend.
"Saya memilih boling tenpin kerana kerana mengagumi sukan ini sementara sukan ini juga dimainkan oleh suami saya.
"Walaupun bermula lewat pada usia 30 tahun, saya cukup menggemari sukan ini dan mahu cuba mempamerkan permainan yang terbaik buat pasukan Sarawak. "
​Pada edisi 2016, Chew Ing telah membawa tiga pingat emas dan tiga perak dan ternyata kehadirannya dalam kejohanan kali ini bakal dilihat sebagai prospek untuk membutirkan pingat buat kontinjen Sarawak.
Bagi atlet pekak olahraga, Carrie Kepani, "Menjelang SOPMA, kami telah menjalani latihan yang lebih intensif sebagai persiapan untuk menghadapi kejohanan kali ini.
"Saya akan cuba yang terbaik untuk memberikan saingan kepada atlet-atlet lain untuk memburu pingat emas dalam acara lompat jauh."
Kali terakhir Carrie beraksi dalam SOPMA pada edisi 2018, dia membawa pulang pingat emas dan memecahkan rekod kejohanan dengan catatan 6.20 meter.
#SOPMA
;