NSL

Sooka NSL: Selangor Angels pasang impian ke final di sebalik tanpa persiapan rapi

Shaiful Shamsudin 24/06/2022 | 11:11 MYT
Penjaga gol Selangor Angels, Zawani Nisha Habib Rahman, menyifatkan pertemuan dengan Kuala Lumpur Wildcats dalam separuh akhir Sooka Netball Super League (NSL) esok sebagai misi hidup dan mati.
Mereka tidak mahu leka tatkala bakal membuat percaturan menggugat juara bertahan bola jaring kebangsaan itu sambil menekankan gerakan lincah Noramisya Kamaruddin dan Pavitra Devi sebagai ancaman utama yang perlu dipatahkan rakan sepasukannya di Stadium Juara, Bukit Kiara.
"Dua pemain ini memang sangat bagus dan kami perlu berwaspada.
"Kami perlu pandai buat percaturan sebab Pavitra adalah pertahanan sementara Noramisya seorang pemain serba boleh kerana mampu menyerang dan bertahan," katanya.
Di atas kertas, kelebihan sepenuhya terarah kepada Kuala Wildcats, lebih-lebih lagi Angels hanya berlatih dua hari sahaja dalam tempoh seminggu, lantas perkara ini menjejaskan kecergasan pemain setiap kali memasuki pertengahan permainan.
"Majoriti pemain Angels dibarisi pemain muda, ada yang belajar dan bekerja.
"Kami uruskan sendiri latihan dan hanya berkumpul Selasa dan Khamis," katanya lagi.
#Bola Jaring #NSL #Sooka Netball Super League
;