NSL
Sooka NSL: Kuala Lumpur Wildcats tidak pandang ringan keupayaan Selangor Angels
Laluan Kuala Lumpur Wildcats untuk ke final Sooka Netball Super League (NSL) musim ini lebih berliku apabila menghitung nasib dengan pasukan di tangga kedua liga, Selangor Angels, dalam separuh akhir di Stadium Juara, Bukit Kiara, Sabtu ini.
Wildcats sedar mereka perlu sedia berdepan sebarang perubahan strategi yang bakal dipertaruh Angels selepas pertemuan dalam liga sepusingan yang lalu memihak Wildcats.
Malah, mereka sama sekali tidak akan pandang mudah pertemuan kedua mereka musim ini.
Tonggak Wildcats, Yeoh Pek Xian, juga sempat berkongsi strategi pasukannya yang fokus memantapkan taktikal menuju minggu akhir Sooka NSL.
"Kami pernah menang ke atas mereka di peringkat liga, mereka juga agak hebat.
"Sedikit sebanyak kami sudah tahu corak permainan merek tapi tidak mustahil mereka akan ubah taktikal.
"Hari ini kami memulakan persiapan dan kami diberi penekanan terhadap mempelbagaikan taktikal.
"Selangor Angels mengakui berdepan masalah kecergasan, mungkin jurulatih kami akan terapkan permainan kepantasan agar mereka bergelut untuk mengikut rentak kami," katanya.