Johor Jewels menamatkan liga sepusingan Sooka Netbal Super League (NSL) di tangga teratas selepas menewaskan Selangor Angels 57-25 di Stadium Juara, Bukit Kiara sebentar tadi.

Menjelang pusingan separuh akhir minggu depan, pasukan Permata Selatan itu menamatkan saingan liga dengan menyapu bersih 18 mata daripada enam perlawanan dan berkelebihan tiga mata di depan pencabar terdekat, KL Wildcats.

Terdahulu, Wildcats turut tidak berdepan masalah untuk menewaskan pasukan di tangga keempat Pahang Tulips 77-52.

Melaka Mystic, dalam pada itu, menamatkan penantian kemenangan pertama sejak musim lalu apabila menang tipis 43-42 ke atas Negeri Sembilan Venom tetapi keputusan itu masih belum cukup untuk menyelamatkan mereka daripada tersingkir musim depan.

Turut tersingkir adalah Kedah Sunshine, yang hanya dibezakan peratusan jaringan dengan Venom selepas ketiga-tiga pasukan di tangga terbawah itu sekadar mengumpulkan tiga mata sepanjang musim ini.

Aksi separuh akhir Sabtu depan akan menyaksikan juara liga, Jewels, berdepan pasukan di tangga keempat, Tulips, manakala naib juara liga, Wildcats, pula akan bertemu pasukan di tanggan ketiga, Angels.