Sokongan serta doa rakyat Malaysia jadi pembakar semangat Natasha Roslan
Ammar Hakim
Januari 15, 2025 19:00 MYT
Januari 15, 2025 19:00 MYT
Sensasi tenpin boling wanita negara, Natasha Roslan, tiba di tanah air selepas mencipta sejarah unggul apabila muncul juara Piala Dunia buat kali pertama bagi rakyat Malaysia.
Kepulangannya turut disertai pasukan lelaki yang juga mencipta sejarah mengungguli acara berpasukan lelaki di final Piala Dunia di Hong Kong.
Pesawat yang membawa mereka selamat mendarat pada petang hari ini yang disambut warga Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dan juga peminat-peminat yang ingin menatap lebih dekat wira dan wirawati mereka.
Natasha tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini selepas mencipta sejarah sebagai wanita pertama Malaysia merangkul gelaran Piala Dunia Boling IBF 2025.
Ketika ditemui wakil Astro Arena, Natasha meluahkan rasa syukur dan terharu dengan sokongan rakyat Malaysia yang mendoakannya.
Lebih bermakna, anak kelahiran Petaling Jaya itu turut menerima kejutan istimewa apabila Malaysia Book of Records menyampaikan sijil pengiktirafan kepadanya sebagai atlet wanita pertama merangkul kejayaan itu.
Natasha menyifatkan kemenangan itu sebagai detik paling manis dalam kariernya dan menjadi pendorong untuk terus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.