BERITA SUKAN AM
Sokongan kewangan KBS disambut baik atlet negara
Susulan pengumuman awal dari Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai bantuan kewangan kepada atlet yang tidak berada dalam program Road to Gold (RTG) tetapi telah layak ke Olimpik secara merit, berita ini disambut dengan penuh kegembiraan oleh para atlet.
Pengumuman rasmi yang dijadualkan minggu depan telah memberikan harapan besar kepada atlet pelayaran negara, Khairulnizam Mohd Affendy.
Dia yakin bahawa tambahan dana dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan memperkuat persiapan akhir menjelang Olimpik.
"Jika benar ada dana tambahan, saya terima dengan tangan terbuka dan amat bersyukur," kata Khairulnizam.
Dalam pada itu, jurulatih perseorangan wanita negara, Nova Armada, yang bakal berlepas ke Jakarta untuk menyertai Terbuka Indonesia bersama Goh Jin Wei turut meluahkan rasa lega.
Menurut Nova, jika tambahan kewangan itu menjadi kenyataan, ia akan mengurangkan cabaran mencari penaja yang sebelum ini amat sukar.
Pengumuman itu diharap dapat memberikan semangat dan sokongan yang diperlukan oleh atlet negara untuk mencapai kejayaan di peringkat antarabangsa.