SUKAN LAIN
Snuker tersenarai dalam Program MSN
Jaguh snuker negara, Thor Chuan Leong, boleh menarik nafas lega apabila Persekutuan Snuker dan Billiards Malaysia (MSBF) merupakan antara 11 persatuan sukan kebangsaan yang tersenarai dalam Program Sukan SEA, Majlis Sukan Negara (MSN).
MSN menawarkan program latihan kepada 11 persatuan sukan kebangsaan yang berpotensi meraih pingat dalam Sukan SEA Filipina, 30 November hingga 11 Disember depan.
Chuan Leong adalah antara atlet yang berpotensi untuk menyumbang pingat selepas meraih gangsa acara berpasangan dalam edisi Kuala Lumpur 2017.
Dia juga pernah merangkul dua pingat emas dalam edisi Singapura 2015.
Ia menjadi kriteria utama pemilihan persatuan sukan kebangsaan dalam program MSN.
"Kami telah menyelesaikan penstrukturan semula program bagi kumpulan pertama.
"Yang terbaru, kami memberikan taklimat kepada 11 persatuan sukan berkenaan bantuan-bantuan yang akan diberikan dan apa yang perlu dilakukan atlet mereka untuk layak ke Sukan SEA Filipina," kata Pengarah Persediaan Atlet MSN, Jefri Ngadirin
Sebanyak 10 pingat emas ditawarkan sukan snuker dalam Sukan SEA Filipina 2019.
MSN turut bercadang untuk menawarkan program terhadap beberapa persatuan sukan kebangsaan dalam masa terdekat.
"Terdapat beberapa persatuan lain yang berpotensi untuk meraih pingat dalam temasya itu.
"Mereka akan dipanggil berbincang dan kami akan melihat persediaan yang dilakukan mereka," tambah Jefri.