KL2017
Snuker dan Biliard: Wakil negara tidak menjadi
Pemain pool negara, Muhammad Almie Muhamad Yakub, menghargai peluang untuk beraksi dalam Sukan SEA ke-29 sambil menyifatkan pengalaman ini dapat membantu dirinya menjadi atlet yang lebih baik.
Ini merupakan penampilan pertama buat Almie di pentas temasya dwitahunan ini.
Walaupun kecundang kepada pemain Filipina, Johann Chua, dalam pusingan pertama saingan individu hari ini, namun pemain kelahiran Kota Kinabalu itu tetap mempamerkan persembahan yang wajar diberi pujian.
Saingan yang berlangsung di Dewan 4, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu menyaksikan dia kecundang 9-5 kepada Chua.
"Saya telah memberikan yang terbaik dalam perlawanan ini.
"Nasib tidak menyebelahi saya ketika tewas kepada wakil Filipina," kata Almie.
Setakat ini, skuad snuker dan biliard negara sudah meraih satu gangsa menerusi beregu snuker lelaki menerusi gandingan Thor Chuan Leong dan Moh Keen Hoo.
Sementara itu, hasrat Chuan Leong untuk mempertahankan emas kategori individu tidak kesampaian apabila tumpas kepada pemain Thailand, Phaitoon Phonbun, dalam pusingan awal.
Untuk rekod, Persekutuan Snuker dan Biliard Malaysia (MSBF) menyasarkan satu emas dalam temasya kali ini.
Pengurus pasukan, Tunku Nazroff Tunku Moksin, mengakui undian tidak menyebelahi Chuan Leong dan lawannya itu mempamerkan aksi lebih baik pada hari pertandingan.
"Dia tidak berada di tahap terbaik dan dia menyedarinya.
"Saya berharap dia dapat bangkit selepas ini.
"Lawannya pula berjaya menghasilkan aksi yang cemerlang," kata Tunku Nazroff.
Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.