SUKAN-LAIN
Skuasy WCQ: Kem negara berdepan cabaran perang saudara -- Andrew Cross
Saingan Kelayakan Asia bagi Kejohanan Dunia Skuasy 2025 bakal membuka tirainya dalam tempoh dua minggu lagi di Pusat Skuasy Universiti Malaya, dengan barisan pemain negara kini giat melakukan persiapan akhir.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Andrew Sam Cross, meluahkan kebimbangannya dengan keputusan undian yang menyaksikan beberapa pemain negara bakal berentap sesama sendiri di peringkat awal kejohanan.
Namun begitu, fokus utama tetap kekal — iaitu untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang wakil Malaysia berjaya melayakkan diri ke pentas dunia yang akan berlangsung di Chicago, Amerika Syarikat, Mei depan.
Iklan
"Terdapat ramai wakil kebangsaan yang akan bertanding kali ini tetapi malangnya, dalam saingan lelaki negara, kebanyakan mereka akan membuat pertembungan saudara untuk bersaing dengan sesama sendiri.
"Tahun lepas, kita hanya ada seorang pemain wanita yang berjaya layak, Chen Yiwen, dan harapnya kali ini kita boleh harapkan Addeen Idrakie untuk merealisasikan misi itu.
"Format undian ketika itu juga agak berbeza—ia belum dipecahkan mengikut wilayah.
"Tetapi kali ini, mereka pecahkan ikut wilayah, seperti yang dibuat tahun lepas dan secara realistik, dua pemain yang mara adalah pencapaian terbaik ataupun sekiranya hanya seorang sahaja wakil yang layak ia sudah cukup memadai," ulasnya.
Sementara itu, pemain skuasy negara, Syafiq Kamal berharap kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menyuntik semangat untuk dia tampil dengan prestasi terbaik sepanjang kempen kelayakan.
"Saya rasa teruja untuk saingan kelayakan kali ini kerana setiap penganjuran ACE akan memberi peluang kepada pemain kebangsaan merasai kehangatan bersaing dengan pemain di ranking tertinggi.
"Persiapan telah dirangka sejak Mac lepas dan bagi saya ini adalah peluang terbaik untuk saya membuktikan saingan berbeza di laman sendiri.
Sebagai persiapan akhir, Syafiq akan menyertai satu kejohanan Jelajah PSA di Jepun minggu ini sebelum turun menghadapi rakan sepasukan, Sanjay Jeeva, dalam pusingan pertama kelayakan.
Must-Watch Video