Shaiful Shamsudin
Wed Nov 20 2024
Perseorangan skuasy lelaki utama negara, Ng Eain Yow, mencatat kemenangan tiga set ke atas V Senthilkumar dari India, hari ini.
Pilihan kelima Terbuka Singapura itu mara selepas melakar kemenangan 11-4, 11-1, 11-5 dalam tempoh 34 minit.
Set pertama menyaksikan Eain Yow mendahului 3-1 sebelum melebarkan jurang kepada 6-2.
Pemain Malaysia itu memuktamadkan mata terakhir set pertama berkenaan selepas terpaksa mengharungi rali panjang.
Dan selepas terlebih dahulu mendahulu kedua, Senthilkumar tidak mampu menyekat Eain Yow daripada mengutip 11 mata berturut-turut bagi menutup set kedua 11-1.
Dan situasi hampir sama berlaku dalam set ketiga yang menyaksikan enam mata berturut-turut berpihak Eain Yow untuk mendahului 8-2.
Walaupun Senthilkumar cuba merapatkan jurang kepada 4-9, ia belum memadai untuk menyekat prestasi memberangsangkan pencabarnya untuk akur 5-11.
Eain Yow akan berdepan pilihan keempat dan pemain ranking ke-12 dunia, Victor Crouin, dari Perancis dalam pusingan ketiga esok.
"Seperti biasa saya perlu bekerja keras pada awal setiap perlawanan.
"Saya pastikan pemain berkemahiran tinggi sepertinya tidak mendapat rentak.
"Tetapi keputusan hari ini tidak semudah yang terpampang kerana ia memerlukan tumpuan tinggi," katanya selepas perlawanan.