SKUASY

Skuasy Terbuka Malaysia: Ivan, Rachel tepati ramalan

Ammar Hakim 23/11/2021 | 10:04 MYT
Juara Kejohanan Skuasy SRAM-PSA 7, Ivan Yuen dan Rachel Arnold, membukti kewibawaan menepati ramalan mara ke pusingan kedua selepas menundukkan lawan masing-masing pada hari pembukaan Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia sebentar tadi.
Pemain skuasy berpengalaman negara, Ivan berdepan saat sukar di set pembukaan selepas dikejutkan dengan kelincahan rakan sepelatih, Ong Sai Hung apabila tewas 7-11.
Pun begitu, Ivan yang berada di ranking ke-55 dunia menggunakan pengalamannya untuk mennyesuaikan diri dengan tempo permainan laju sebelum menoktahkan kemenangan di tiga set berikutnya 11-5, 11-8, 11-3.
Sementara itu, perseorangan wanita ketiga negara, Rachel Arnold, memulakan saingan di Pusat Skuasy Nasional Bukit Jalil dengan langkah kanan selepas menang mudah di set pertama 11-2.
Biarpun tewas di set kedua 5-11 selepas melakukan lima unforce errors, Rachel tenang mengatur starategi mengasak Tong Tsz Wing di bahagian depan gelanggang untuk menempah slot di pusingan kedua dengan kemenangan 11-9, 11-5 di dua set berikutnya.
Nasib berbeza dilalui Addeen Idrakie selepas akur tewas kepada lawan lebih ampuh, Yip Tsz Fung dengan keputusan 1-3.
Biarpun Addeen berupaya bangkit dengan menang di set ketiga, namun jurang kualiti permainan jelas memihak lawannya sekaligus kecundang 9-11, 9-11, 11-6, 4-11
;