SKUASY

Skuasy Remaja Dunia: Joachim, Aira sandaran utama negara di Australia

Sinar Harian 18/07/2023 | 05:41 MYT
Dua bintang muda meningkat naik, Joachim Chuah dan Aira Azman, akan menjadi sandaran utama negara untuk mencipta kejayaan menerusi acara individu dalam Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2023 di Melbourne, Australia bermula hari ini.
Jurulatih negara, Andrew Cross, percaya kedua-dua anak buahnya itu, yang membuat penampilan terakhir dalam kejohanan berprestij berkenaan, bersemangat tinggi, terutama Aira yang hadir sebagai juara bertahan.
“Setakat ini semua berjalan dengan baik di Melbourne. Kami berjaya mendapatkan beberapa sesi latihan yang cukup baik di sini sebelum kejohanan bermula esok dan barisan pemain sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan mereka.
“Mereka (Joachim dan Aira) mahu melakukan yang terbaik memandangkan ini penampilan terakhir mereka dalam Kejohanan Remaja Dunia tetapi setiap pusingan akan menjadi lebih mencabar buat mereka,” katanya menerusi kenyataan.
Sementara itu, Aira, yang berpengalaman beraksi dalam Kejohanan Berpasukan Remaja Asia dan Piala Dunia, bersedia membimbing rakan sepasukannya dalam acara berpasukan.
“Ada antara mereka (rakan sepasukan) yang kurang berpengalaman daripada saya dalam acara berpasukan, jadi saya akan cuba untuk tunjukkan kepada mereka cara melakukannya dan kami akan melakukannya bersama-sama,” katanya.
Turut membarisi skuad negara bagi kategori lelaki ialah Tho Wei Yan, Hashvind Kugan, Low Wa Sern, Nickhileswar Moganasundharam dan Harith Danial Jefri, manakala pemain wanita pula terdiri daripada Sehveetrraa Kumar, Anrie Goh Chu Yu, Doyce Ye San Lee, Thanusaa Uthrian dan Whitney Wilson
Acara berpasukan bermula pada 24 hingga 29 Julai ini dan Malaysia berazam menamatkan penantian 38 tahun negara untuk bergelar juara remaja dunia berpasukan, khususnya dalam kategori wanita.
Kredit: Sinar Harian
#Skuasy #Aira Azman #Joachim Chuah #Kejohanan Skuasy Remaja Dunia
;