SUKAN LAIN

Skuasy Remaja Dunia: Aifa tepati ramalan

Penulis Jemputan 31/07/2019 | 10:18 MYT
Pemain remaja negara, Aifa Azman, menepati ramalan untuk menumbangkan wakil Norway, Madeleine Hylland, dalam pusingan kedua Kejohanan Skuasy Remaja Dunia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, hari ini.
Sasaran untuk melepasi pusingan kedua itu dibuktikannya dengan kemenangan 11-5, 11-2, 11-9.
Bagaimanapun, atlet dari Kedah itu tidak mahu terlalu selesa dan kekal fokus untuk menewaskan wakil India, Sanya Vats, dalam pusingan ketiga esok.
"Saya banyak bermain secara mudah dengan mengambil bola di belakang.
"Saya akan bersedia sepenuhnya untuk perlawanan esok dengan latihan secara solo," katanya.
Aifa berasakan dia mempunyai kelebihan dalam perlawanan esok kerana dia pernah bertemu lawan itu dalam Kejohanan Berpasukan Remaja Asia, Januari lalu.
"Saya pernah bertemunya dalam Kejohanan Berpasukan Remaja Asia awal tahun ini.
"Saya menewaskannya 3-0, jadi saya harap dapat mengulanginya esok.
"Saya tidak menganggapnya mudah tetapi jika saya kekal fokus, harap-harap saya dapat melakukan yang terbaik," tambahnya.
;