SUKAN LAIN
Skuasy Remaja Dunia: Aifa enggan dabik dada turun selaku pilihan
Selepas meraih laluan percuma dalam pusingan pertama, pemain negara, Aifa Azman, sedia membenam cabaran wakil Norway, Madeleine Hylland, menjelang pusingan kedua Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2019 di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Aifa menganggap laluan percuma itu membantunya untuk tampil cergas selain meningkatkan keyakinannya untuk melakar kecemerlangan dalam saingan berikutnya.
Sebagai persiapan, pemain berusia 19 tahun itu mengkaji corak permainan Madeleine yang menundukkan wakil New Zealand, Ella Lash, petang tadi.
"Saya hanya menjalani sesi latihan pagi ini selain mahu mendapatkan rehat yang secukupnya.
"Saya yakin mampu beraksi baik untuk menumpaskan Madeleine esok," katanya.
Meskipun turun selaku pemain pilihan ketiga kejohanan, Aifa enggan mengambil mudah cabaran yang bakal dijelmakan lawannya itu.
Dia optimis semangat bertarung di negara sendiri mampu menebus kekalahannya musim lalu.
"Saya tidak perlu berasa terlalu yakin dan hanya fokus kepada perlawanan," katanya.
Sementara itu, jurulatih negara, Kenny Foo, menganggap pemain remaja, Adam Agan Aziz, menampilkan prestasi cemerlang dalam penampilan pertamanya selepas menang mudah ke atas wakil Hong Hong, Au Lap, 11-8, 11-6, 11-8, petang tadi.
Daripada prestasi yang dilakar anak buahnya itu, bekas pemain skuasy kebangsaan berkenaan optimis Adam mampu melakar kemenangan ke atas pemain pilihan kelima dari Mesir, Yehia Elnawasany, esok.
"Saya tidak fikir dia akan berasa tertekan.
"Dia bukanlah pemain pilihan.
"Kalau dia boleh menewaskan pemain pilihan, ia pasti boleh membantunya dalam undian kejohanan berikutnya," kata Kenny.