SUKAN LAIN

Skuasy Kebangsaan: Kejayaan di Bukit Jalil pemangkin persiapan Sukan Komanwel Birmingham

Shaiful Shamsudin 12/06/2022 | 14:44 MYT
Pemain wanita nombor satu negara, S Sivasangari, kembali merampas semula gelaran Kejohanan Skuasy Kebangsaan sejak 2018 selepas menewaskan Aifa Azman, hari ini.
Dengan pengalaman dimiliki oleh Sivasangari -- yang mara ke peringkat suku akhir Kejohanan Platinum Skuasy lalu -- dia tiada masalah untuk memastikan gelaran juara kebangsaan keduanya di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
Pemain ranking ke-19 dunia itu menewaskan pemain yang sedang meningkat naik, Aifa, yang berada di kedudukan ke-29 dunia menerusi pertarungan empat set dengan keputusan 12-10, 9-11, 11-6 dan 11-9.
"Sudah tentu saya sangat gembira memenangi gelaran kedua (kebangsaan).
"Aifa menunjukkan banyak peningkatan dan rankingnya melonjak dengan pesat jadi hari ini menjadi perlawanan yang sukar buat saya.
"Saya lega kerana dapat kekalkan perancangan dan mengalahkannya dengan empat set," katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, saingan lelaki pula menyaksikan Ng Yean Yow mudah menundukkan juara empat kali, Ivan Yuen, dengan straight set 11-6, 11-3, 11-2.
Pemain ranking ke-23 dunia itu gembira dengan prestasinya yang makin memuncak menjelang Sukan Komanwel Birmingham yang bermula 28 Julai hingga 8 Ogos.
"Saya gembira dengan kejayaan ini tetapi apa yang lebih penting lagi ialah mutu prestasi saya sebagai persiapan Sukan Komanwel.
"Prestasi hari adalah satu langkah ke depan untuk mengendalikan tekanan sebagai pilihan utama sambil beraksi dengan baik," katanya pula.
;