Tuan rumah Sukan Olimpik Los Angeles 2028 bercadang untuk menyenaraikan sukan kriket, flag football, lacrosse, skuasy dan besbol-sofbol dalam temasya itu.

Bagaimanapun, cadangan penganjur itu tertakluk kepada kelulusan akhir oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), yang akan mengadakan sesi di Mumbai, India hujung bulan ini.

Perkembangan itu dimaklumkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Los Angeles 2028 (LA28), Kathy Carter, dalam satu kenyataan semalam.

“Dalam membina program Sukan Olimpik, kami bersedia untuk mencabar status quo dan berfikir secara berbeza mengenai perkara yang mungkin untuk Sukan Olimpik di Los Angeles.

“Kami tampil dengan cadangan yang berani dan seimbang agar dapat memberi tenaga kepada temasya ini dengan persaingan yang relevan daripada segi budaya serta sebarang kemungkinan tanpa had,” ujarnya.

Los Angeles Times pula melaporkan cadangan memasukkan sukan itu dalam temasya berkenaan mungkin mendapat kelulusan.

Daripada lima sukan itu, tiga tidak pernah dipertandingkan dalam program Sukan Olimpik.

Sekiranya diluluskan, sukan flag football, skuasy dan lacrosse akan membuat penampilan sulung dalam temasya berkenaan.

-- Sinar Harian