SUKAN LAIN

Skuasy Berpasukan Asia: Latihan di UK baiki permainan Syafiq

Penulis Jemputan 17/01/2020 | 05:37 MYT
Pemain skuasy negara, Syafiq Kamal, yakin sesi latihan selama dua bulan di United Kingdom (UK) mampu membantunya untuk melakar kejutan dalam Kejohanan Berpasukan Asia dari 25 hingga 29 Mac depan.
Syafiq berkelana ke UK dan langkah itu membantu skuad kebangsaan untuk merangkul tempat kesembilan dalam Kejohanan Skuasy Berpasukan Lelaki Dunia bulan lalu.
Kejayaan itu menjadi suntikan semangat untuknya terus memperbaiki prestasi sebelum bermulanya saingan edisi ke-20 berkenaan di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.
"Ia sangat membantu tetapi apabila kembali ke sini, saya perlu menajamkan lagi permainan.
"Menjelang Kejohanan Berpasukan Asia, saya mahu gunakan masa yang ada untuk menaikkan keyakinan bersama pasukan kerana kami akan bermain di laman sendiri," katanya di venue pertandingan semalam.
Tambahnya, sesi latihan di Eropah itu membantunya untuk lebih memahami permainan daripada segi taktikal dan teknikal yang harus digunakan ketika perlawanan.
"Saya banyak memahami corak permainan berbanding sebelum ini.
"Cuma saya perlu memahami rentaknya dalam pertandingan sebenar memandangkan belum lagi menyertai sebarang kejohanan (untuk menguji kemampuan).
"Jadi, saya harap dapat menyesuaikan diri dalam perlawanan sebenar dengan segera supaya permainan saya menjadi lebih matang," tambahnya.
Editor: Shaiful Shamsudin
;