Skip to main content

Sukan Lain

Skuash Sharon Wee Trophy: Andrik, Zhi Xuan bergelar juara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

skuasy-sharon-wee-trophy.jpg
Sharon Wee Trophy 2025, yang berlangsung di Kompleks MAKSAK Melaka, menyaksikan bakat hebat serta saingan sengit, dengan tumpuan utama terarah kepada pemain skuasy kebangsaan, Andrik Lim, yang mempertahankan gelarannya dalam acara perseorangan lelaki. 

Ia merupakan kejuaraan kedua berturut-turut buat Andrik, manakala Goh Zhi Xuan pula merangkul gelaran pertamanya dalam acara perseorangan wanita selepas menamatkan saingan di tempat kedua tahun lalu.

Andrik, penerima biasiswa penuh di Trinity College, Amerika Syarikat, terpaksa bekerja keras untuk menewaskan bekas rakan sepasukannya di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Veroon Heng, dalam final yang mendebarkan dengan keputusan 3-11, 12-10, 12-10, 11-9 memihaknya.

Sementara itu, Goh Zhi Xuan, yang bakal melanjutkan pengajian ke Stanford University bulan depan, mempamerkan aksi cemerlang apabila menewaskan adiknya, Goh Jia Xuan, dalam perlawanan akhir dengan memperoleh kemenangan mudah 11-3, 11-1, 11-1. 

Menariknya, Goh Jia Xuan baru-baru ini meraih tempat ketiga dalam Kejohanan Korea Junior Open.

"Saya gembira melihat peningkatan penyertaan daripada pemain junior serta komuniti skuasy Melaka tahun ini," kata Sharon Wee, bekas pemain No. 18 dunia dan kini Naib Presiden Persatuan Raket Skuasy Melaka (MSRA) serta Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM).

"Jawatankuasa pengurusan baharu MSRA bersama Presiden, Encik Han Yong Chye, sejak Disember 2024 telah memperkenalkan lima program negeri baharu buat julung kalinya dalam 20 tahun, termasuk tiga kejohanan, kem motivasi dan pembinaan pasukan, malam penghargaan, perlawanan persahabatan dan banyak lagi. 

"Matlamat kami adalah untuk mengenal pasti lebih ramai bakat serta memperkukuh kedalaman setiap peringkat umur. 

"Selain itu, amat membanggakan apabila bekas pemain seperti Datuk Tan Seng Kit, Ketua Pegawai Eksekutif STRATEQ, menjadi penaja utama MSRA, di samping sokongan penaja lain terhadap visi kami.” 

Sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya dalam bidang sukan, belia dan kepimpinan, Sharon turut dikurniakan Darjah Seri Melaka (D.S.M.) oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Ali Rustam, sempena sambutan ulang tahun kelahirannya.
 

Advertisement

Must Watch Video