SUKAN LAIN

Skuad wushu rayu luluskan latihan di Jepun, China

Bernama 28/01/2019 | 10:27 MYT
Persekutuan Wushu Malaysia akan membuat rayuan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) agar meluluskan kedua-dua program latihan di Jepun pada Mac ini dan China pada September depan.
Presidennya, Datuk Chong Kin Fatt, berkata dua program latihan tersebut sangat penting untuk mempersiapkan atlet negara ke Kejohanan Dunia Wushu di Shanghai, China pada Oktober dan Sukan SEA Filipina pada Disember.
“Ada sedikit perubahan dalam perancangan apabila MSN hanya membenarkan latihan di Jepun kerana pengurangan dalam bajet.
"Wushu merupakan antara penyumbang pingat yang penting buat negara, kita akan buat rayuan kepada MSN dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja dengan MSN, hari ini.
“Latihan di China penting kerana ada satu atau dua acara penting yang kita perlukan pertolongan mereka untuk meningkatkan kemahiran teknikal atlet-atlet kita. Menurut perancangan persekutuan, atlet kita akan terus menyertai Kejohanan Dunia selepas latihan di sana.
“Selepas itu, mereka akan balik berlatih di MSN selama sebulan sebelum berlepas ke Filipina. Wushu merupakan sukan yang subjektif, jadi atlet kita perlukan latihan sepenuh masa, kita tidak boleh cakap tak ada wang, tak ada latihan,” katanya.
Beliau berkata kos latihan di China adalah kira-kira RM100,000, manakala bajet keseluruhan bagi pasukan wushu negara terdiri daripada sembilan atlet senior dan 14 atlet pelapis adalah kurang daripada RM1juta untuk tahun ini.
Sementara itu, Chong berkata pihaknya juga sedang berusaha membangunkan disiplin sanda (tempur) di negara ini, yang lebih tertumpu kepada disiplin taolu (seni), kerana tujuh daripada 16 pingat emas yang ditawarkan dalam Sukan SEA 2019 adalah dalam sanda.
“Kita akan putuskan mengenai perkara ini dalam mesyuarat selepas Tahun Baru Cina. Kalau bergantung kepada Taolu sahaja, prospek emas kita hanya satu kerana kita boleh ambil bahagian dalam sembilan acara sahaja.
“Kita akan berusaha untuk menghantar sekurang-kurangnya tiga atlet sanda ke Filipina. Kita juga berpandangan jauh kerana sebanyak lapan pingat emas ditawarkan untuk sanda dalam Sukan Asia Hangzhou 2020,” katanya.
Dalam Sukan SEA 2017, tuan rumah, Malaysia, meraih enam emas daripada 17 pingat emas yang ditawarkan dalam wushu. Hanya disiplin taolu dipertandingkan ketika itu.
Chong berkata persekutuan itu juga akan membuat permohonan kepada MSN untuk atlet pelapis mengambil tempat yang ditinggalkan oleh beberapa atlet senior yang telah bersara daripada skuad kebangsaan seperti Loh Jack Chang dan Diana Bong.
-- BERNAMA
;