SUKAN ASIA 2018
Skuad renang berirama enggan terlepas Sukan Asia
Atlet renang berirama negara, Zylane Lee dan Gan Hua Wei, mengharapkan keajaiban berlaku apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengemukakan rayuan untuk mereka menyertai Sukan Asia Indonesia 2018, Ogos depan.
Skuad renang berirama negara digugurkan selepas gagal mencapai had kelayakan kategori A Sukan Asia.
Zylane dan Hua Wei menghuni ranking ketujuh Asia ketika ini berbanding had kelayakan, ranking empat terbaik.
"Sudah tentu kami berharap untuk tersenarai kerana temasya Sukan Asia hanya berlangsung empat tahun sekali.
"Selepas Sukan SEA 2017, hanya Sukan SEA pentas untuk kami beraksi. Oleh itu, saya berharap kami dapat menyertai kontinjen negara, tidak kira sama ada dalam kategori A mahupun B," kata Zylane.
Tambah Hua Wei: "Kalau tidak dapat menyertai Sukan Asia pun, tidak mengapa. Setidak-tidaknya kami telah berusaha melakukan persiapan sambil berharap dapat menyertai kejohanan-kejohanan yang lain."
Bagaimanapun, ASUM mengemukakan rayuan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) agar dapat mempertimbangkan reputasi mereka sebagai juara Sukan SEA.
"Tahap Sukan SEA dan Sukan Asia tidak sama. Sukan Asia 2018 bakal menampilkan tiga Olimpian dan untuk itu, kita tidak boleh membandingkan (keupayaan dengan peserta lain). Kami hanya perlu fokus kepada aksi di dalam kolam renang," kata Zylane.