RAGBI

Skuad ragbi negara bakal miliki stadium rasmi

Penulis Jemputan 23/02/2018 | 12:03 MYT
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah mengenal pasti kawasan yang sesuai di Presint 14, Putrajaya sebagai tapak untuk pembinaan stadium ragbi utama buat skuad negara.
Selepas saban tahun menanti, pasukan ragbi kebangsaan kini semakin hampir untuk memiliki gelanggang mereka sendiri.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, memaklumkan proses pertukaran hak milik tanah di kawasan Presint 14, Putrajaya itu akan dimuktamadkan sedikit masa lagi sebelum kerja pembinaan stadium dapat dimulakan.
"Perbadanan Putrajaya sebagai tuan tanah sudah pun bersetuju dan saya akan memuktamadkan pembinaan tersebut dalam masa terdekat, dengan perjanjian bersama Perbadanan Putrajaya, dan peruntukan yang akan diberikan oleh Unit Perancang Ekonomi Malaysia," katanya.
Khairy berkata demikian selepas menyaksikan majlis pengumuman tajaan oleh Kumpulan UEM kepada Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) di Kuala Lumpur, hari ini.
Kumpulan UEM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Izzadin Idris, manakala KRM oleh Presidennya, Datuk Shahrul Zaman Yahya.
Tajaan selama dua tahun bernilai RM4 juta itu merupakan yang terbesar pernah diterima dalam sejarah skuad ragbi kebangsaan.
"Kami memang berhempas-pulas sebelum ini dan tidak pasti boleh meneruskan program latihan.
"Sebagai contoh, pasukan sepatutnya pergi ke New Zealand untuk latihan tetapi di atas kekangan kewangan, perancangan itu terpaksa ditukar," kata Shahrul Zaman.
;