SUKAN LAIN

Skuad olahraga mampu tamatkan kemarau pingat di Jakarta

Bernama 30/04/2018 | 10:46 MYT

Selepas gagal menamatkan kemarau pingat selama 16 tahun dalam Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia 4-15 April lalu, skuad olahraga negara perlu bekerja keras

untuk menamatkan kemarau pingat 12 tahun dalam Sukan Asia Jakarta-Palembang, Ogos ini.
Kejayaan podium terakhir Malaysia adalah dalam Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar setelah atlet lompat bergalah wanita, Roslinda Samsu, meraih pingat perak manakala Noraseela Mohd Khalid mendapat pingat gangsa dalam acara 400m lari berpagar.
Sejak itu, tiada atlet kebangsaan yang berjaya dalam olahraga yang menghimpunkan pelbagai acara sukan itu.
Bagaimanapun, bekas atlet lari berpagar, Noraseela yakin bahawa skuad olahraga Malaysia mampu menamatkan kemarau pingat, dengan potensi besar dalam acara padang.
“Atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin, telah memenangi pingat perak dalam Kejohanan Olahraga Asia di India tahun lepas. Saya rasa atlet lompat tinggi, Nauraj Singh Randhawa dan Lee Hup Wei, akan melakukan yang terbaik kali ini (selepas gagal memenangi pingat dalam Sukan Komanwel).
“Kita juga boleh mengharapkan persembahan yang baik daripada Jackie Wong Siew Cheer yang telah memecahkan rekod kebangsaan beberapa kali tahun lepas.
"Saya juga berharap atlet wanita kita memajukan diri mereka dan menjadi antara pesaing utama,” kata juara empat kali Sukan SEA itu.
Noraseela, yang masih memegang rekod kebangsaan 400m lari berpagar, iaitu 56.02s, yang dicatatkan pada 2006 di Jerman berkata, persiapan yang baik juga aspek paling penting buat atlet untuk mencapai keputusan yang baik dalam kejohanan utama.
“Mereka perlu bersedia fizikal dan mental serta mengambil bahagian dalam seberapa banyak pertandingan yang boleh. Sukan Asia adalah antara platform terbesar yang mereka boleh gunakan dan lakukan yang terbaik.
“Ini kerana jika anda tidak bersaing dalam kalangan terbaik, sukar untuk anda terus maju. Jadi, ini adalah peluang besar untuk mereka melakukannya,” kata Noraseela, yang kini melatih atlet junior dan kanak-kanak di Grigory Asia, sebuah akademi untuk olahraga.
Acara trek dan padang Sukan Asia dijadualkan dari 25 hingga 30 Ogos di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta.
-- BERNAMA

;