Skip to main content

Sukan Lain

Skuad memanah para negara cemerlang di Dubai

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

1217azrulabdulrashid.jpg
Pasukan memanah Paralimpik negara meraih kejayaan cemerlang apabila berjaya membawa pulang satu emas dan dua perak dari Kejohanan Dunia Memanah Antarabangsa Ke-3 di Dubai.

Emas disumbangkan Azrul Abdul Rashid yang bergandingan dengan peserta Brazil, Joaquin Soares de Oliviera, selepas menumpaskan wakil Great Britain, Phoebe Pibe dan Julie Chupin, dengan 142 berbalas 140 mata dalam final acara pasukan campuran antarabangsa compound.

Lebih manis, ia adalah emas pertama Azrul di peringkat antarabangsa.

"Syukur Alhamdulillah, ini adalah emas pertama saya di peringkat antarabangsa. Memang rasa berdebar kerana saya berdepan dengan masalah angin pada ketika itu, malah ini adalah kali pertama mara ke final," kata Azrul.

Dua lagi pingat perak masing-masing disumbangkan oleh Suresh Selvathamby yang tewas kepada Oguzhan Polat dari Turki dalam final acara individu recurve, serta Ahmad Jaffri Jamaluddin yang bergandingan dengan peserta Latvia, Ieva Melle, dalam acara pasukan campuran antarabangsa recurve.

"Memang pada awalnya, saya rasa gementar tetapi jurulatih sentiasa berada di belakang saya untuk memberi semangat," kata Suresh. 

"Saya rasa agak kecewa sebab kalah tipis dalam final dan saya perlu cuba lagi pada masa akan datang," kata Jaffri. 

Ia adalah pencapaian terbaik Malaysia sejak kali pertama mengambil bahagian dalam kejohanan itu dua tahun lalu.

Advertisement

Must Watch Video