FUTSAL
Skuad futsal wanita negara rancang berlatih di Uzbekistan
Jurulatih skuad futsal wanita negara, Mohd Fairuz Mohd Noor, merancang untuk membawa pasukannya menjalani latihan di Uzbekistan sebagai pendedahan sebelum menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur, 19-31 Ogos tahun hadapan.
Menurut Fairuz, berlatih di Uzbekistan menjadi pilihan utamanya selain mendapatkan beberapa aksi persahabatan menentang pasukan bertaraf kelab.
"Masih tiada perancangan untuk perlawanan antarabangsa setakat ini. Kami sedang membuat perancangan untuk ke Uzbekistan dan mengadakan perlawanan persahabatan pada April tahun hadapan,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz merakamkan penghargaan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di atas kepercayaan kerana melantiknya sebagai jurulatih.
Tidak menyangka diberikan peranan untuk menggantikan Chiew Chun Yong yang kini membimbing skuad lelaki, Fairuz berjanji akan menggalas tanggungjawab itu sebaik mungkin bagi membantu skuad futsal wanita negara.
“Saya agak terkejut kerana dipilih sebagai jurulatih skuad futsal wanita kerana sebelum ini saya bersama Marcelo Serpa mengendalikan skuad lelaki. Dari situ, mereka melihat kredibiliti saya sebelum dilantik menjadi jurulatih pasukan wanita," tambahnya.
Untuk rekod, Mohd Fairuz sebelum ini adalah penolong jurulatih skuad futsal lelaki kebangsaan.
Seramai 20 pemain disenaraikan oleh Fairuz untuk menghadiri kem latihan pusat Fasa 1 di Wisma FAM, Kelana Jaya bermula Khamis lalu.