Skip to main content

Bola Keranjang

Skuad Emas Los Angeles Lakers

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

lebron.jpg
Los Angeles Lakers berwajah baru telah kalah lima perlawanan berturut-turut setelah dikalahkan oleh Golden State Warriors 111-99 pada awal pagi semalam. 

Adakah kekalahan ini akan menjadi kerisauan utama buat semua penyokong Los Angeles Lakers? Adakah meraka terlalu tua untuk bermain dengan lebih efisien?

Jawapannya, peminat Los Angeles Lakers tidak perlu risau tentang siri kekalahan lima perlawanan ini kerana ini hanyalah perlawanan persahabatan pra-musim. Tidak perlu diterangkan lagi, skuad Los Angeles Lakers pada tahun ini adalah skuad yang baru sahaja digabungkan dan mungkin akan mengambil sedikit masa untuk membina hubungan sebagai sebuah pasukan. 

Tetapi yang pasti, jika skuad ini sudah mencapai taraf keselesaan mengikut kesesuaian mereka, pastinya mereka antara pasukan yang perlu digeruni di dalam liga NBA pada musim 2021/22.

Tidak boleh dinafikan lagi, pasukan ini merupakan pasukan dengan purata umur tertinggi iaitu 30.9 tahun. 

Stratergi Los Angeles Lakers untuk memenuhi skuad mereka dengan pemain veteran yang berpengalaman merupakan stratergi yang harus dilakukan pasukan itu setelah mereka memperoleh pemain bintang daripada Washington Wizards, iaitu Russell Westbrook yang memakan gaji siling pasukan itu dan mengehadkan perbelanjaan pasukan itu untuk menandatangani pemain yang lebih baik untuk mencipta sebuah pasukan kejuaraan. 

Dengan menggunakan bajet yang terhad, pasukan Los Angeles Lakers melakukan perkara yang baik dengan menandatangani pemain dengan pelbagai jenis variasi skil dan kebolehan untuk melancarkan perjalanan pasukan sepanjang liga NBA musim 2021/22. Tetapi, perlulah diketahui bahawa sekiranya mereka mempunyai skuad dengan umur yang tinggi, semestinya kecederaan akan menjadi sesuatu isu penting yang akan menjadi penghalang buat mereka pada masa hadapan. 

Jika dilihat pada perlawanan menentang Warriors pada awal pagi rabu, mereka telah pun kehilangan lima pemain iaitu Trevor Ariza, Kendrick Nunn, Talen Horton-Tucker, Malik Monk dan Wayne Ellington. 

Pemain-pemain ini merupakan antara pemain-pemain yang penting buat skuad kedua mereka untuk berfungsi dengan baik.






Walaupun skuad Los Angeles Lakers ini dipenuhi dengan ramai pemain bintang seperti LeBron James, Anthony Davis, Russell Westbrook, Carmelo Anthony, Dwight Howard dan ramai lagi. 

Namun, skuad ini mash belum mempunyai chemistry yang baik. Ini adalah kerana bagi penulis, setiap pemain masih belum memahami tugas yang harus dipikul setiap individu untuk menjadikan organisasi Los Angeles Lakers ini sebagai satu pasukan yang harus digeruni jika ingin mencabar kejuaraan liga NBA. 

Contohnya, jika dilihat stail permainan LeBron James dan Russell Westbrook adalah mirip dan seakan-akan. Kedua-dua pemain adalah pemain yang mengutamakan “triple-double” sebagai tahap ukur kejayaan mereka sebagai individu, dan mereka juga merupakan pemain yang memerlukan penguasaan bola di tangan mereka untuk menjadi pemain yang lebih efisien. 

Sudah semestinya ini akan membawa impak kepada pasukan sekiranya salah seorang daripada mereka tidak bermain dengan baik kerana mereka harus mengubah stail permainan mereka dan ini akan mengambil masa untuk mereka menyesuaikan diri dengan tugas baru mereka. 

Untuk bergerak dan terus maju ke hadapan, jurulatih pasukan Los Angeles Lakers, Frank Vogel, harus berterus-terang dan bersikap telus dengan semua pemain mengenai tugas dan jangkaan skuad kejurulatihan terhadap setiap pemain. Los Angeles Lakers sudah pun mempunyai skuad utama yang kukuh dan patut digeruni menerusi trio LeBron-Davis-Westbrook milik meraka. 

Tugas utama barisan kejurulatihan pasukan ini adalah untuk memastikan skuad kedua pasukan Los Angeles Lakers bersedia untuk meneruskan rentak perlawanan yang dimainkan Oleh sukade utama meraka. 

Namun, dengan adanya pemain seperti Rajon Rondo dan Dwight Howard di barisan kedua, pastinya tugas untuk mengekalkan rentak perlawanan itu tidaklah sesukar yang dijangka kerana kebolehan Rondo untuk mengawal pergerakan dan tempo bola di dalam gelanggang merupakan antara bakat dan kelebihannya. 

Kebolehan Howard untuk memenuhi ruang di kawasan sekitar bawah jaring juga boleh membuka ruang kepada pemain-pemain yang berkemahiran untuk melakukan balingan 3-pointer.

Cabaran yang harus diberi perhatian oleh pasukan Los Angeles Lakers akan bermula pada 20 Oktober 2021 dimana mereka akan sekali lagi menentang pasukan Golden State Warriors. 

Adakah mereka mampu melakukan perubahan dan mempelajari kesilapan mereka di pra-musim? Mampukah mereka melakukan perubahan di saat perlawanan bermakna sesuatu kepada rekod mereka? atau adakah Golden State Warriors akan meneruskan aksi cemerlang mereka menentang Lakers sekali lagi?

 

Advertisement

Must Watch Video