Skuad bola keranjang pertimbang tonggak naturalisasi
Penulis Jemputan
Februari 5, 2020 20:23 MYT
Februari 5, 2020 20:23 MYT
Kegagalan skuad bola keranjang Malaysia dalam Sukan SEA Filipina 2019 memaksa Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk serius memikirkan keperluan menyerap kudrat naturalisasi agar tidak terus tenggelam dengan seteru Asia Tenggara yang lain.
Temasya dwitahunan itu menyaksikan skuad lelaki negara Agagal dalam misi untuk menjejaki podium.
Dalam diam, ketua jurulatih negara, Brian Lester, telah melepaskan jawatan tersebut meskipun Malaysia mempunyai misi penting dalam aksi pra-kelayakan ke Piala Asia 2021 yang bermula bulan ini.
Sementara itu, skuad wanita hampa dalam pemburuan pingat emas buat pertama kalinya sejak edisi Singapura 2015 apabila menduduki tangga tercorot dalam kalangan empat pasukan di Filipina menerusi liga sepusingan itu.
Atas dasar itu, MABA berasakan Malaysia memerlukan bakat naturalisasi dan kacukan untuk memastikan pembangunan skuad kebangsaan kekal relevan seperti yang diterapkan Filipina, Thailand dan Indonesia.
"Walaupun kami kata tidak mahu tetapi memandangkan saiz fizikal atlet negara belum lagi ada yang besar dan tinggi (yang sepatutnya), jadi kami memang ada memberi perhatian kepada langkah untuk menyerapkan pemain naturalisasi.
"Ia patut dimulakan dengan membabitkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
"Kalau mereka sudah menyatakan sokongan, barulah kami akan berjumpa dengan Menteri Belia dan Sukan (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman)," kata Timbalan Setiausaha Agung MABA, Sim Sin Heng.
Editor: Shaiful Shamsudin