Skip to main content

Sukan Lain

SKA sedia anjur satu lagi kejohanan karate antarabangsa

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

jake-jn-pic2_1.jpg
Selepas kejayaan Kejohanan Karate Kadet Junior dan B-21 Persekutuan Karate Asia (AKF) di Kota Kinabalu, bulan lalu, Persatuan Karate Sabah (SKA) kini bersedia untuk sekali lagi menjadi tuan rumah untuk satu lagi kejohanan antarabangsa, Ogos ini. 

Kali ini, SKA akan menganjurkan Kejohanan Karate Piala Shureido kali pertama yang bakal berlangsung di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, bermula 14 hingga 18 Ogos. 

Presiden SKA, Datuk Jake Jikulin Nointin, berkata, pihaknya kini sedang giat membuat persiapan untuk kejohanan kedua bertaraf antarabangsa yang dianjurkan mereka di negeri berkenaan. 

"Ini adalah kejohanan terbuka dan kami mengalu-alukan penyertaan daripada mana-mana pasukan, kelab atau negara yang ingin menyertainya. 

"Kami telah menghantar jemputan dan kami jangkakan lebih 500 atlet daripada beberapa buah negara serta pasukan dan kelab di negara ini akan mengambil bahagian," katanya ketika dihubungi, di Kota Kinabalu, hari ini. 

Tambah beliau, kejohanan itu nanti juga akan menjadi satu lagi pentas kepada para atlet khususnya yang muda di seluruh Asia untuk membuktikan kemampuan mereka.

"Bagi pihak persatuan juga, saya berterima kasih kepada penaja utama, Shureido Co. Ltd kerana memberi peluang kepada SKA bagi menganjurkan kejohanan edisi pertama ini," katanya. 

Sementara itu, beliau turut berterima kasih pihak kerajaan negeri khususnya Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kerana sentiasa menyokong dalam memastikan sukan karate ini terus berkembang di Sabah. 

Untuk maklumat lebih lanjut mengenai kejohanan itu boleh menghubungi Setiausaha Agung SKA, Julian Chin di nombor 012-8381088, Nadia (011-1955 5359) atau Iskhandar (016-881 5295).

Advertisement

Must Watch Video