SUKAN LAIN
Sivasangari akur sumbangan Beng Hee
Pemain skuasy negara, S. Sivasangari, mengimpikan untuk kembali bersama bekas jurulatihnya, Ong Beng Hee, bagi mengetuai skuad kebangsaan bagi musim 2019.
Sivasangari yakin dengan kebolehan dan pengalaman Beng Hee untuk mencanang kejayaan buat barisan negara.
Dia juga menjelaskan kehadiran Beng Hee dijangka mampu membantu pemain remaja yang cemerlang dalam saingan Terbuka Remaja British sebelum ini untuk mengekalkan tahap konsisten di peringkat senior.
"Ia satu tamparan buat Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) dan kami (dengan peletakan jawatan Peter Genever). Ketua jurulatih adalah posisi yang besar. Kami tidak tahu sehingga diberitahu," kata Sivasangari.
"Beng Hee adalah bekas jurulatih saya. Sudah tentu dia menjadi faktor di mana saya berada ketika ini."
Sementara itu, Sivasangari akan melalui cabaran yang lebih sengit bagi memberi tumpuan penuh kepada latihan selepas mengambil keputusan melanjutkan pelajarannya di Universiti Cornell, New York dan berpangkalan di Amerika Syarikat.
Sivasangari bakal dilatih oleh bekas jaguh skuasy dunia, David Palmer.
"Saya akan ke Amerika Syarikat Sabtu ini dan mewakili Malaysia," tambahnya.