SUKAN LAIN
Sirkit Memanah Sabah: PMDKK muncul juara
Persatuan Memanah Daerah Kota Kinabalu (PMDKK) muncul juara keseluruhan Sirkit Memanah Sabah Piala Sthamin di Tawau, baru-baru ini.
PMDKK merangkul 11 pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa untuk dinobat juara keseluruhan.
Presiden PMDKK, Tuah Tahir, berkata kejayaan itu memberikan gambaran bahawa program pembangunan yang dilaksanakan persatuan itu sedang berada di landasan yang betul.
"PMDKK diwakili 25 pemanah dan diiringi jurulatih, Sylvester Fernandez dan Kenneth Chow, dari Sekolah Rendah Swasta Datuk Simon Fung.
"Lebih menggembirakan apabila ibu-bapa pemanah PMDKK turut datang ke Tawau semata-mata untuk memberikan sokongan kepada anak mereka dan ia tentunya satu suntikan semangat buat pemanah kami," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tuah berkata PMDKK menghantar kontinjen terbesar dalam kalangan 10 daerah dan kelab yang mengambil bahagian dalam kejohanan selama dua hari itu.
PMDKK paling menyerlah dalam kategori B-13 dengan memenangi enam pingat emas yang diterajui oleh Faith Fedora Shiu dan Evan Rich Chong Qi Wei, yang masing-masing memenangi dua acara individu dalam pusingan kelayakan dan pusingan Olimpik.
Kedua-dua pemanah itu juga bergandingan untuk merangkul pingat emas acara berpasangan campuran.
Satu lagi pingat emas disumbangkan gandingan Evan, Quik Chern Xin dan Nathenial Tan Zhi Wei dalam acara berpasukan.
Turut menyumbangkan pingat emas ialah Zoey Lee Jia Yin (dua emas) dalam kategori B-10, Shayna Jacqueleine (pusingan kelayakan perempuan B-15); skuad berpasukan B-15 (Siti Nurhuril Ain, Shayna dan Kemmy) dan skuad berpaasukan campuran (Chin Shi Yi dan Ardina Banadus) dalam kategori compound terbuka.
Pingat perak dimenangi skuad perempuan B-13 (Faith, Carolyn Chye, Chrusty Ann David), Quik (pusingan Olimpik lelaki B-13), skuad berpasukancampuran B-15 (Shayna dan Jassel Lu), Jassel (pusingan kelayakan dan pusingan Olimpik B-15), skuad berasukan campuran compound terbuka (Christopher Wong dan Noryfasikin Bilau) dan Chin Shi Yi (pusingan kelayakan).
Pingat gangsa pula dimenangi Quik (pusingan kelayakan lelaki B-13), Shayna (pusingan Olimpik peremuan B-15), Siti Nurhuril (pusingan kelayakan perempuan B-15), skuad berpasukan lelaki B-15 (Goh Chun Shen, Jassel dan Aiman Syafiq Junior Sanim) dan Chin Shi Yi (terbuka compound individu).