Kecergasan pemain menjadi kebimbangan utama ketua jurulatih ragbi lelaki 7's negara, Nik Safuan Ismade Nik Man, selepas anak buahnya menamatkan kempen Kejohanan Siri Ragbi Asia 2024 di Bangkok, Thailand, minggu lalu.

Ia bukanlah penamat yang diharapkan apabila skuad negara mengakhiri kedudukan di tempat keenam secara keseluruhan, sekali gus gagal memperbaiki carta.

"Bagi saya pencapaian pasukan dalam ketiga-tiga siri ini masih memuaskan di mana kami mendapati ada kelemahan seperti kecergasan pemain.

"Ini adalah satu batu loncatan untuk kami mengenal pasti kelemahan supaya dapat menghadapi kejohanan seterusnya," katanya kepada Nadi Arena.

Sementara itu, skuad ragbi wanita berjaya mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu berhasil menduduki tempat keenam meskipun tewas kepada Kazakhstan.

Ketua jurulatih, Mohd Faiz Samsukhidir, berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan sepanjang kempen tersebut berlangsung dan berharap mampu memperbaiki musim depan.




"Alhamdulillah, sasaran kami tercapai. Ini merupakan pertama kali kami dapat menaiki tangga keenam secara keseluruhan.

"Harapan kami adalah dapat memberikan saingan dan meningkatkan prestasi pada masa hadapan," katanya.