Skuad hoki negara meraih kemenangan tipis 3-2 ke atas Belgium B dalam siri jelajah persahabatan Eropah di Antwerp sebentar tadi.

Fitri Saari membuka jaringan buat Skuad negara pada minit ke-24 tetapi skuad simpanan Belgium berkenaan kembali menyamakan kedudukan menerusi pukulan penalti berselang dua minit.

Abang kepada Fitri, Faizal Saari, kemudian kembali meletakkan skuad negara di depan menerusi gol padangnya pada minit ke-38 sebelum Azrai Aizad Abu Kamal memberikan The Speedy Tigers kelebihan lebih selesa pada minit ke-51.

Belgium B cuba mengejar kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti pada mini ke-56 tetapi pasukan negara kental bertahan untuk memperoleh kemenangan pertama dalam edisi kali ini.

Pasukan bimbingan Sarjit Singh itu seterusnya akan berdepan juara dunia edisi 2018, skuad senior Belgium, bagi aksi kedua pada Rabu ini.