Skip to main content

Hoki

Siri Jelajah Bangkok ujian penting skuad hoki 5s negara

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

hoki.jpg

Siri Jelajah Bangkok dari 28 Oktober hingga 2 November ini bakal menjadi pentas terbaik buat skuad hoki lima sebelah (5s) lelaki negara untuk menguji kemampuan menjelang kempen Sukan SEA 2025 di Thailand.

Pengerusi Jawatankuasa Hoki 5s, Hasnizam Hassan berkata, kejohanan yang berlangsung di Stadium Royal Thai Airforce, Bangkok itu bukan sekadar siri persahabatan antarabangsa, sebaliknya medan penting untuk menilai prestasi serta membina keserasian pasukan.

Advertisement

“Saya mahu setiap pemain menggunakan peluang ini untuk memperbaiki kelemahan, menimba pengalaman dan menguatkan diri serta pasukan,” katanya.

Tambah Hasnizam, pengalaman beraksi di Bangkok amat berharga dalam memperkemas struktur permainan menjelang Sukan SEA Disember ini.

“Saya berharap pengalaman kali ini membentuk pasukan lebih matang, berdisiplin dan berwawasan dalam misi memburu pingat emas,” tambahnya.

Pasukan negara yang dibimbing Wan Mohd Roslan Wan Abdul Rahman akan mengharungi enam perlawanan persahabatan menentang skuad tuan rumah Thailand sepanjang siri tersebut.
 

Aksi pertama dan kedua berlangsung pada 29 Oktober, diikuti perlawanan ketiga pada 30 Oktober, sebelum skuad negara turun untuk aksi keempat pada 31 Oktober dan menutup kempen dengan dua perlawanan terakhir pada 1 November.

Sementara itu, Wan Mohd Roslan memaklumkan persiapan pasukan berjalan lancar dengan dua sesi latihan intensif diadakan di Padang 2, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil menjelang keberangkatan ke Bangkok.

“Kami kekalkan 17 pemain kecuali Akhimullah Anuar Esook yang masih dalam proses rawatan. Siri jelajah ini penting untuk menilai prestasi sebenar pemain kerana ini perlawanan ujian pertama selepas lebih sebulan berlatih.

“Harapan saya, pemain dapat rasai suasana perlawanan sebenar sebelum kami memuktamadkan senarai 10 pemain terbaik yang akan menggalas cabaran ke Sukan SEA Disember,” jelasnya. - Sinar Harian

Topik Berkaitan

Must Watch Video