Skip to main content

Sukan Lain

SIPMA 2025: Wakil MASUM pecut laju bolot emas 100 meter

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

mssm.jpg
Dua jaguh pecut negara, Danish Iftikhar Muhammad Roslee danIzzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, menepati ramalan apabila mudah menepis saingan pencabar lain untuk meraih emas bagi acara tumpuan 100 meter (m) lelaki dan wanita.

Dengan penyertaan dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang menutup tirai pada 31 Ogos lalu, Danish tampil tanpa tekanan untuk memecahkan rekod peribadi miliknya, sebaliknya misi utama adalah menamatkan perlumbaan di tempat pertama.

Dengan catatan masa 10.42 saat (s) yang juga rekod baru kejohanan, Danish berpuas hati mampu beraksi cemerlang di saingan akhir Kejohanan Sukan Institusi Pendidikan Malaysia (SIPMA) 2025 di Johor Bahru meskipun tidak mempunyai tempoh persiapan yang mencukupi.

 

"Untuk mengelak daripada sebarang kecederaan, saya fokus kepada proses pemulihan terlebih dahulu dan cuba sehabis baik dalam kejohanan kali ini.

"Saya tidak mensasarkan apa-apa, sebaliknya hanya bersyukur dengan apa jua pencapaian," katanya kepada wartawan Astro Arena, Ainul Abd Rouf.

Bagi penerima Anugerah Olahragawati dua kali Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) pula, dia lega mampu bangkit daripada permulaan perlumbaan yang sedikit lewat untuk menamatkan saingan dengan catatan 11.98s.

Tempoh sedia yang lama memaksa Izzatul lebih berjaga-jaga bagi mengelakkan 'false start' yang mampu menyebabkan dirinya disingkirkan daripada bertanding.

"Walaupun agak lambat, tetapi Alhamdulillah berjaya kejar semula.

"Yang penting dapat menghabiskan larian dengan baik meskipun sebenarnya kurang berpuas hati hari ni," katanya di Nadi Arena.

Advertisement

Must Watch Video