Sarawak akan menjadi tuan rumah Siol International Mountain Bike Challenge 2017 yang merupakan aksi terakhir dalam Siri Mountain Bike Asia pada 5 November depan.
Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Wahap Abang Julai ketika ditemui hari ini berkata, kejohanan yang menawarkan wang tunai lebih RM76,000 itu akan dibahagikan kepada tiga acara iaitu "Individual Downhill", " Cross Country Olympic" dan "Team Relay -- Mayor's Challenge Trophy.
"Kesemua acara ini melibatkan 11 kategori lelaki, wanita dan berkumpulan," katanya ketika ditemui hari ini.
Abang Wahap menjelaskan, seperti tahun-tahun lepas, kejohanan tahunan ini dijangka akan turut disertai oleh pelumba handalan Asia dan Eropah, terutamanya bagi merebut acara kemuncak; Team Relay -- Mayor's Challenge Trophy yang menawarkan habuan RM1500 dan piala.
"Disebabkan acara ini bertaraf Asia, hanya mereka yang mempunyai lesen Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) dan Kesatuan Basikal Antarabangsa (UCI) dibenarkan mengambil bahagian.
"Bagaimanapun bagi yang berminat, kami akan membuka kaunter pendaftaran lesen PKBM dan UCI sementara pada hari berkenaan," katanya lagi.
Pada masa yang sama, Datuk Bandar Kuching Utara turut mengumumkan bahawa pihaknya akan memganjurkan Perlumbaan Kriterium DBKU 1.0 pada 17 September depan.
"Ia dilangsungkan sempena sambutan Hari Bandaraya Kuching ke-29 di Dataran Selebriti, Kompleks Belia dan Sukan Negeri.
Katanya, sebanyak enam kategori dipertandingkan iaitu Tertutup Sarawak, Remaja Lelaki (20 tahun ke bawah), Veteran (40 tahun ke atas), Mountain Bike, Terbuka Sarawak dan All Stars bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas.
Rudi Affendi Khalik
Thu Aug 31 2017