Silat Antarabangsa Terbuka Malaysia: Skuad silat seni mahu sumbang emas
Penulis Jemputan
September 28, 2019 19:52 MYT
September 28, 2019 19:52 MYT
Skuad muda silat seni enggan mendabik dada menjelang Sukan SEA Filipina, November depan biarpun cemerlang meraih lima pingat emas dalam Kejohanan Silat Antarabangsa Terbuka Malaysia 2019, hari ini.
Kejohanan di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur, itu yang memasuki hari kedua menyaksikan skuad kendalian Nasri Nasir berkenaan cemerlang apabila mengetepikan lawan yang rata-rata merupakan pesaing dalam temasya dwitahunan itu kelak.
Percaturan yang berani diambil Nasri apabila rata-rata atlet yang turun bertanding kali ini merupakan muka baru, namun tetap unggul menghadiahkan emas buat kontinjen Malaysia.
Hanya satu gandingan senior dipertaruhkan, iaitu juara dunia, Mohd Taqiyuddin Hamid dan Sazzlan Yuga, dan mereka tidak mengecewakan dalam acara ganda putra.
"Saya lihat daripada segi pencapaian dan prestasi pesilat di bawah latihan saya, saya rasa tidak mustahil bahawa mereka akan menyumbang emas dalam Sukan SEA," katanya.
Sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, kem silat seni Malaysia suram apabila hanya meraih satu emas dalam edisi 2013 di Nay Pyi Taw, Myanmar, menerusi gandingan ganda putri.
Bagaimanapun, melihat kepada perkembangan anak didiknya, kem silat seni mampu menjadi antara penyumbang dua emas yang disasarkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA).
"Ia sebenarnya (situasi yang) agak berbeza, terutama atlet-atlet baru.
"Bagi atlet lama, tiada masalah.
"Sebab itulah pendedahan atlet dalam pertandingan amat perlu bagi mematangkan lagi serta membentuk mental dan fizikal mereka dalam menghadapi kejohanan besar."
KEPUTUSAN SILAT SENI:
EMAS LELAKI
Tunggal -- Luqman Laji
Ganda putra -- Mohd Taqiyuddin Hamid, Sazzlan Yuga
Berpasukan -- Muhammad Syafiq Ibrahim, Juned Abdullah, Nashrul Edzam Asri
EMAS WANITA
Tunggal -- Nur Syafiqah Hamzah
Ganda Putri -- Nor Hamizah Abu Hassan, Nur Syazreen Malik
PERAK WANITA
Berpasukan -- Siti Nur Khairunnisa Hail, Nurfadhillah Wani Jiplin, Fatin Ardani Zamri