OLIMPIK TOKYO
Shu Wai: Peluang atlet negara ke Tokyo masih terbuka
Jurulatih gimnastik artistik negara, Ng Shu Wai, menganggap dua kejohanan terdekat yang akan disertai atletnya sudah memadai dalam pemburuan satu lagi slot ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Tracie Ang dan Tan Ing Yueh menjadi sandaran Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) untuk mengikut jejak Farah Ann Abdul Hadi ke temasya di Tokyo itu.
Ini berdasarkan prestasi semasa dan pencapaian yang pernah diraih kedua-dua atlet itu seperti meraih pingat emas dalam Piala Cabaran Dunia 2016.
Iklan
Namun, misi itu tampak sukar buat Tracie mahupun Ing Yueh apabila sekadar mengharungi dua kejohanan utama sebelum menghadapi kelayakan ke Sukan Olimpik.
"Peluang masih terbuka. Sebab itu kami lambat memulakan tahun 2020, bulan Mac adalah kejohanan pertama yang bakal dihadapi atlet negara dan berusaha untuk layak ke Sukan Olimpik," kata Shu Wai.
Kejohanan Senior Asia di Tokyo, Mei depan merupakan platform terakhir buat gimnas negara menempah tiket ke Sukan Olimpik 2020.
Sebelum kejohanan itu, mereka akan menyertai cabaran Kejohanan Berpasukan di Stuttgart, Jerman dan Piala Antarabangsa Ukraine, Mac ini.
"Masih terdapat beberapa negara yang berusaha untuk melangkah ke Sukan Olimpik. Ia tidak mematahkan semangat kerana saya tetap berusaha dan jika peluang masih terbuka, saya akan cuba mendapatkannya," kata Ing Yueh.
Editor: Ammar Hakim
Must-Watch Video