Shereen hargai bantuan sains sukan pacu lariannya
Shaiful Shamsudin
Disember 25, 2024 20:12 MYT
Disember 25, 2024 20:12 MYT
Permata olahraga negara, Shereen Vallabouy, menyanjung tinggi pendekatan sains sukan yang meliputi seluruh aspek di tubuh badannya itu hingga mampu mengecapi pelbagai kejayaan di Amerika Syarikat (AS).
Shereen yang kini berada di tanah air selepas tamat pengajian di Universiti Winona State bakal terus berguru di negara Uncle Sam itu bagi mengharungi musim 2025.
Pemegang rekod 400 meter negara itu menzahirkan keterujaannya untuk berlatih sepenuh masa selepas terikat dengan komitmen pelajaran sejak 2019.
Pelari serba boleh itu terpanggil untuk mengingatkan rakan sepelatih negara yang berlatih di tanah air agar menitikberatkan elemen sains sukan secara total dalam rejim latihan harian.
Pendekatan itu sudah membuahkan hasil terhadap dirinya sehingga melakar rekod kebangsaan acara 400 meter selain turut melakukan rekod sama saingan dalam dewan.
Sejak pada 2019, evolusi prestasi Shereen turut terserlah dalam acara 200m.
Pencapaian tertinggi bersama kem negara ialah ketika Shereen mengetuai kuartet 4x100m raih gangsa Sukan Asia Hangzhou tahun lalu.
Shereen bakal membuka musim baru pada pertengahan bulan depan dalam saingan dalam dewan dan buat pertama kalinya beraksi sebagai status pelari sepenuh masa.
"Sains sukan banyak menambah pengetahuan dan kembangkan teknik (larian) saya.
"Prestasi saya menampakkan kemajuan dan kini lebih kuat malah saya juga mengubah sepatu yang membantu larian saya.
"Saya juga menggunakan mesin mikro-elektro bagi pemulihan. Ia meredakan saraf dan mendorong anda untuk berlari lebih tenang.
"Saya harap dapat mencapai sesuatu yang bagus selain memecah rekod kebangsaan 400m (51.79s) milik sendiri," katanya.