KARATE
Sharmendran sudah cukup kenal kekuatan, kelemahan skuad karate negara -- Prem Kumar
Dari rakan sepasukan ke jurulatih, atlet podium karate kumite negara, Prem Kumar, tekad melangkah penuh keyakinan dalam lembaran baharu 2025 sambil bernaung di bawah bimbingan jurulatih baru yang juga merupakan bekas rakan sepasukannya, R. Sharmendran.
Tambahnya, keserasian dan formasi dimiliki dijamin mampu menjadi kelebihan buat kem negara kerana Sharmendran sudah sedia cakna akan kelemahan dan kekuatan yang dimiliki pasukannya.
"Sebelum ini sebagai rakan sepasukan, dia cukup garang dan kini bergelar jurulatih, dia lebih garang," ujar Prem menerusi Nadi Arena.
"Sebagai jurulatih, sudah tentu dia mahu meningkatkan lagi prestasi pasukan. Dia perlu menjaga 10 atlet sekarang berbanding dahulu Sharmendran hanya fokus kepada dirinya."
Sementara itu, rakan sepasukannya, S. Geerijaieswaran melihat kombinasi senior-junior sebagai satu langkah untuk membentuk dinamik positif terutamanya menjelang Kejohanan Persekutuan Asia Tenggara (SEAKF), April ini.
Menurutnya, dia teruja untuk mengalu-alukan saingan daripada barisan muda meskipun ia mampu mencabar kategorinya kerana apa yang lebih penting ialah misi utama negara dapat direalisasikan.