TENIS

Sharapova patut bermula dari awal

Penulis Jemputan 01/08/2017 | 00:56 MYT
Jurulatih Serena Williams, Patrick Mouratoglou, berpendapat bahawa pemain tenis Russia, Maria Sharapova, sepatutnya menerima laluan yang lebih sukar dalam usaha untuk kembali ke gelanggang selepas menjalani penggantungan selama 15 bulan.
Sharapova terpaksa menerima hukuman penggantungan selepas didapati bersalah kerana diuji positif bagi meldonium dalam Terbuka Australia, Januari tahun lalu.
Dia kembali pada April lalu, namun terpaksa melupakan musim di gelanggang rumput selepas mengalami kecederaan yang menyebabkannya terpaksa menarik diri ketika beraksi menentang Mirjana Lucic-Baroni dalam pusingan kedua Kejohanan Internazionali BNL d'Italia.
Sharapova, yang pernah memenangi kejuaraan utama sebanyak lima kali, turut dinafikan peluang beraksi dalam Terbuka Perancis pada tahun ini dan memerlukan undian wildcard bagi mengesahkan penyertaannya dalam kejohanan grand slam Terbuka Amerika Syarikat bulan depan di samping turut menerima jemputan untuk menyertai kejohanan di Stanford dan Cincinnati.
Kembalinya pemain berusia 30 tahun itu disifatkan sesuatu yang baik untuk dunia tenis oleh Mouratoglou tetapi tidak gembira dengan layanan yang diterima oleh Sharapova.
“Bersedia kerana seorang bintang bakal kembali ke gelanggang dan setiap sukan amat memerlukannya.”
“Saya gembira melihatnya kembali menyertai Jelajah WTA tetapi tidak bersetuju dengan layanan yang diterima kerana ia seolah-olah seperti seorang pemain yang baru kembali daripada kecederaan.
“Sebahagian daripada hukuman sepatutnya meletakkan Sharapova terpaksa bermula dari awal dan bukannya menerima bantuan daripada wildcard,” katanya.
#Serena Williams #Maria Sharapova #ATP #Tenis #Patrick Mouratoglou
;