Menurut kenyataan itu, Megat D. Shahriman dilaporkan telah membuat satu laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendakwa Shapawi dan Pengarah Bahagian Paralimpik MSN, Sofian Hamzah, melakukan jenayah dengan memberikan rasuah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk badan induk itu mencalonkannya sebagai pencabar jawatan Presiden MPM bagi tahun 2025-2029, yang sedang disandang Megat D. Shahriman pada ketika itu.
"Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan beliau kepada media tersebut yang telah tersebar luas pada 13 Disember 2024, sehari menjelang Mesyuarat Agong Pemilihan MPM bagi tahun 2025-2029, yang jelas berbentuk fitnah dan berniat jahat bertujuan untuk menjatuhkan maruah dan imej saya sebagai mantan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia dan juga calon bagi merebut jawatan Presiden MPM bagi tahun 2025-2029," kata Shapawi dalam kenyataan itu.
"Kenyataan beliau kepada media tersebut telah memberi persepsi negatif kepada pegawai kerajaan, khususnya Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan MSN, malahan SPRM sendiri.
"Persepsi negatif melalui dakwaan terhadap saya sebagai mantan kepimpinan KBS, En Mohd Sofian, sebagai pegawai yang masih berkhidmat di MSN, sementara persepsi negatif terhadap SPRM sebagai agensi penguatkuasaan kerajaan, yang nama dan imejnya sewenang-wenangnya digunakan bagi menerima laporan palsu oleh sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan sendiri tanpa bukti yang sahih.
"Persepsi negatif juga kepada BAM, yang telah didakwa menerima rasuah tersebut.
"Saya akur dengan keputusan pemilihan dalam Mesyuarat Agung MPM tempoh hari yang tidak memihak kepada saya tetapi amalan dan sikap buruk yang keterlaluan yang dilakukannya itu sepatutnya tidak menjadi amalan dalam kita memberikan perkhidmatan sukarela dalam dunia sukan negara kita ini.
"Saya dan barisan peguam saya juga akan mengambil tindakan yang lain selanjutnya bagi memberi pengajaran kepada sesiapa sahaja supaya jangan mengamalkan amalan buruk memfitnah dan membuat laporan palsu demi kepentingan diri sendiri.
"Oleh itu, saya memohon pihak polis dapat menyiasat kes ini di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan Malaysia (Akta 574) dan akta lain yang berkenaan," katanya.
Dalam pada itu, Megat D. Shahriman ketika dihubungi Astro Arena enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu dan memaklumkan akan mengeluarkan kenyataannya dalam masa terdekat.
Mantan KP MSN Datuk Shapawi Ismail buat laporan polis berhubung kenyataan fitnah yang di lemparkan kepadanya.
— FinaNasrom (@fnasrom) January 2, 2025
Bakal buat tuntutan sivil minggu depan pic.twitter.com/GFpmXkTTxM