Kehebatan atlet kumite wanita negara, C. Shahmalarani, terus menjadi tumpuan selepas sekali lagi menjadi wakil tunggal negara layak ke Kejohanan Liga Perdana K1 yang dijadualkan berlangsung pada 26 hingga 28 Januari depan.

Kejayaan itu turut disifatkan sebagai batu loncatan buat rakan sepasukannya, Arif Afifuddin Ab Malik, yang memuji mentaliti juara dimiliki pemenang pingat emas Sukan SEA itu, sekali gus menjadikannya sebagai inspirasi besar dalam arena karate negara.

"Sudah tentu, saya sangat berbangga dengannya. Ia bukanlah sesuatu yang mengejutkan buat dirinya yang selalu mempamerkan persembahan terpuji.

"Dia sentiasa mempunyai pemikiran yang positif selain kerap melakuan yang terbaik, "katanya kepada wartawan Astro Arena, Husna Zainudin.

Atlet yang berasal dari Pulau Pinang itu turut meluahkan rasa kecewanya selepas terlepas ke pentas itu susulan kecederaan koyak ligamen (ACL) ketika aksi pusingan pertama menentang pesaing dari Itali, dalam kejohanan k1 series a, September lalu.

"Secara jujurnya, saya tidak berada di prestasi yang membanggakan, tahun lalu.

"Terutamanya, keluarga saya tidak berada dalam kesihatan yang memuaskan.

"Saya juga menghadapi kecederaan. Ia memberi kesan kepada karier saya," tambahnya.