Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menegaskan ahli gabungan yang enggan menggunakan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa bakal berdepan tindakan.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader, berkata badan induk antarabangsa berkenaan akan mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang mengabaikan garis panduan baru itu.
“Mana-mana pihak atau persatuan yang enggan menggunakan perubahan ini akan diberi amaran keras dan jika terus berdegil akan dinasihat. Namun, sekiranya ia berterusan (mereka) akan berdepan tindakan daripada ISTAF.
“Semua pengadil ISTAF dan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) juga diarahkan agar mematuhi peraturan baru ini
“ISTAF juga akan memaklumkan perkara ini kepada penganjur Sukan SEA Thailand 2025 dan Sukan Asia Nagoya 2026,” katanya yang memaklumkan perkara itu turut mendapat reaksi positif Presiden Persekutuan Sepaktakraw Arab Saudi, Aljawharah Y. Fallatah.
Pada masa sama, Abdul Halim berkata: “Presiden Persekutuan Sepaktakraw Thailand, Thana Chaiprasit, dan jawatankuasa badan induk tersebut juga telah dimaklumkan pemangku presiden ISTAF, Boonchai Lorhpipat, mengenai perubahan sistem kiraan mata tersebut."
ISTAF sebelum ini mewajibkan pelaksanaan sistem kiraan 15 mata bagi semua pertandingan domestik dan antarabangsa bermula 1 Februari depan.
Sistem kiraan 15 mata diluluskan semasa mesyuarat Kejohanan Sepak Takraw Dunia ke-36 Piala Raja Thai 2023 pada 15 Julai lalu menyaksikan pasukan terikat 14-14, regu pertama yang meraih mata ke-17 akan muncul pemenang.
Setiap regu juga kini memperoleh satu servis sahaja berbanding tiga sebelum ini bagi semua pertandingan di dalam dan luar negara.
--Sinar Harian
Stadium Astro
Sun Dec 24 2023